KUCHING – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam satu kejadian kemalangan kendiri di Jalan Tun Haji Abdul Rahman Yaakub, Petra Jaya, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi ketika mangsa menunggang motosikal bersendirian dari arah bulatan Samariang menuju ke bulatan Sesco.
Beliau dalam satu kenyataan malam tadi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurut ACP Alexson lagi, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan di Hospital Umum Sarawak.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu hingga menyebabkan kematian.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

20 May 2025 | 01:43 PM