KUCHING, 19 Mei: Sarawak sentiasa menjadi contoh dalam memelihara dan memperkukuh perpaduan serta keharmonian sosial.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan negeri telah membuktikan bahawa kesatuan dalam kepelbagaian merupakan asas kepada kestabilan dan kemajuan Sarawak.
Justeru, rakyat di negeri ini diseru untuk terus memelihara dan mengekalkan perpaduan serta keharmonian di Sarawak.
Tun Wan Junaidi berkata rakyat haruslah menghormati antara satu sama lain dan mengelakkan daripada menyentuh perkara berkaitan sensitiviti agama, kaum dan budaya masing-masing.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang Ke-19, hari ini.
Tun Wan Junaidi juga menyeru agar Ahli-Ahli DUN Sarawak untuk berbahas secara berhemah, konstruktif dan bertanggungjawab berlandaskan kepada prinsip Rukun Negara.
Jelasnya, persidangan tersebut merupakan medan penggubal dasar dan undang-undang untuk berbahas bagi membentuk Sarawak yang lebih gemilang.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

19 May 2025 | 02:22 PM