KUCHING 18 Mei – Seramai 46 individu telah ditangkap, terdiri daripada 42 orang wanita dan 3 orang lelaki warganegara Indonesia, manakala seorang lagi wanita warganegara Filipina.
Ia susulan serbuan oleh Pasukan Tindakan Khas (PTK) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam Ops Gegar pada 17 hingga 18 Mei hasil daripada maklumat risikan.
“Serbuan dilakukan di tiga pusat hiburan sekitar Serian, Bau dan Kuching dengan melibatkan kekuatan 18 anggota pelbagai pangkat.
“Semasa operasi dijalankan terdapat cubaan oleh individu yang diperiksa untuk meloloskan diri. Mereka telah bertindak melarikan ke kawasan hutan berhampiran premis, namun usaha mereka berjaya digagalkan,” kata JIM Sarawak dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut hantaran itu, antara kesalahan yang dikenalpasti termasuk penyalahgunaan pas lawatan, tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa dari tempoh pas yang dibenarkan.
Katanya, kesemua warga asing yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Bagi pemilik premis, mereka juga dikenakan tindakan dengan diberi Notis Saman Kepada Saksi untuk membantu siasatan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

19 May 2025 | 01:46 PM