Kuala Lumpur, 25 Mac: Kementerian Digital melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), telah melaksanakan pelbagai langkah produktif bagi mengadaptasikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor awam.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, ia termasuk program latihan kemahiran, sesi libat urus dan kerjasama rentas sektor.
Antaranya adalah ‘Program AI At Work 2.0’ yang dilancarkan pada 5 Februari lepas, yang bertujuan untuk merevolusikan produktiviti penjawat awam dengan mengintegrasikan alat AI generatif dalam tugas harian.
Selain itu, bengkel ‘Train-The-Trainer’ juga turut diadakan pada 3 hingga 7 Mac lepas yang telah melibatkan seramai 250 orang pentadbir IT MyGOVUC.
Katanya, program-program tersebut akan terus diperluas ke setiap kementerian bagi memastikan digitalisasi sektor awam dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Tambah beliau, pendekatan tersebut dijangka, membolehkan penjawat awam untuk menumpukan lebih banyak masa kepada tugas strategik di samping memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Senator Datuk Mustafa Musa berhubung perkembangan berkenaan di Dewan Negara, hari ini.
Sumber & Foto: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

25 March 2025 | 04:49 PM