KUCHING, 21 Mac: Sidang Kemuncak Belia Hutan Hujan (RAYS) 2025 berperanan sebagai platform penting dalam memperkasakan belia ASEAN untuk meneraju usaha kemampanan dan tindakan terhadap perubahan iklim.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program itu akan dimasukkan dalam kalendar acara ASEAN seiring dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Katanya, Sarawak bertanggungjawab terhadap inisiatif sosial dan budaya ASEAN dengan enam persidangan dijangka dianjurkan di Sarawak.
Bengkel yang akan berlangsung dari 18 hingga 20 Jun di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange itu dijangka menarik penyertaan 300 peserta dan dihadiri oleh kira-kira 1,000 peserta tempatan dan antarabangsa.
Lebih 15 penceramah dari 12 negara akan berkongsi pandangan, antaranya mengenainya pemeliharaan kepelbagaian biologi, penyesuaian iklim, penglibatan belia dan pembangunan mampan.
Tambah beliau, ia sekali gus akan memacu kedudukan Sarawak sebagai hab serantau dalam inisiatif alam sekitar.
Beliau berkata demikian dalam sidang media RAYS 2025 di Kuching, semalam.
Sumber & Foto: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

21 March 2025 | 10:15 AM