BINTULU, 20 Mac – Seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun mengalami sesak nafas dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar sebuah rumah panjang di Sungai Sinai, Ulu Sebauh, di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, memaklumkan bahawa mangsa telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut kenyataan PGO hari ini, dianggarkan seramai 300 penghuni RH Lapie terjejas akibat insiden itu namun tiada kecederaan lain dilaporkan.
Terdahulu, PGO menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada jam 11:09 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi susulan itu.
Setiba di lokasi, Komander Operasi, Mazlan Tanin, melaporkan rumah panjang jenis struktur tidak kekal itu sudah terbakar dengan anggaran kemusnahan sebanyak 70 peratus.
Beliau berkata, sebanyak 27 pintu musnah sepenuhnya, manakala tiga pintu lagi berjaya diselamatkan.
Operasi pemadaman dilakukan dengan membentang dua aliran hos sepanjang 400 kaki serta menggunakan lima nozel dengan sumber air terbuka dan bantuan sebuah water tanker bomba. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11:50 pagi.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

20 March 2025 | 02:25 PM