Kuching, 20 Mac: CENTEXS Komersial merancang untuk mengembangkan operasinya ke semenanjung Malaysia dan luar negara melalui beberapa siri kerjasama.
Pengurus Besar CENTEXS Komersial Sarawak, Mohamad Shahren Mohamad Yusri berkata, usaha itu bertujuan untuk membantu usahawan Sarawak dalam mempromosikan produk-produk tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.
Katanya, di Semenanjung, CENTEXS sedang meneroka kerjasama dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) untuk membuka cawangan di beberapa lapangan terbang, termasuk yang sedia ada di Kuching serta di KLIA 1, 2, dan Langkawi.
Menurut beliau, perbincangan mengenai hasrat tersebut sudah bermula beberapa tahun lalu dan dijangka dilaksanakan selepas ia diselesaikan.
Selain itu, CENTEXS turut bekerjasama dengan syarikat penerbangan Batik Air, Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) dan Brunei (STATOB) untuk meluaskan pasaran di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, perancangan itu masih lagi di peringkat awal kerana mengambil kira kesediaan produktiviti yang perlu ditingkatkan dahulu sebelum memasarkannya ke luar negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru para usahawan tempatan agar memanfaatkan peluang tersebut untuk mengembangkan produk masing-masing di samping mempromosikan produk Sarawak ke pasaran yang lebih luas.
Beliau berkata demikian dalam sidang media, Kempen Rona Warni Aidilfitri X-Travaganza 2.0, Centex Komersial di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

20 March 2025 | 02:23 PM