MUKAH, 20 Mac – Seorang kanak-kanak perempuan dikenali Susie Kiu, 7, ditemui mati lemas pagi ini, selepas dihanyutkan arus ketika mandi sungai bersama abangnya di Jambatan Kuning Batang Mukah, kelmarin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, penduduk kampung menemukan jasad mangsa sekitar jam 9.20 pagi ini di Pantai Kala Mukah.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, mayat mangsa telah dibawa ke Bilik Mayat Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.
Semalam, mayat Dexper Kiu Kuang Wei, 10, ditemui kira-kira jam 4.40 petang oleh pasukan Polis Diraja Malaysia.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 3.50 petang Selasa, dua beradik itu sedang mandi di tepi sungai sebelum dihanyutkan arus deras kerana tidak tahu berenang.
Ibu mereka cuba menyelamatkan kanak-kanak tersebut namun gagal.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

20 March 2025 | 12:26 PM