KUCHING, 19 Mac – Bunyi enjin dan ekzos kenderaan yang terlalu kuat dipercayai menjadi punca pergaduhan di hadapan sebuah kedai di Jalan Rubber, Satok, semalam.
Susulan kejadian itu, polis menahan lima lelaki tempatan berumur antara 18 hingga 35 tahun sekitar jam 1.40 petang tadi bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata siasatan awal mendapati pergaduhan yang berlaku yang tular di sosial media itu bukan bermotifkan perkauman, sebaliknya berpunca daripada ketegangan akibat bunyi bising kenderaan.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang melanggar undang-undang serta mengelakkan penyebaran rakaman video pergaduhan tersebut bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau Pegawai Penyiasat, Insp Ridzainuddin bin Rosley Abdullah, di talian 010-943-1449.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

19 March 2025 | 06:14 PM