KUCHING, 17 Mac: Filem Raya Emas-Salako Sacred Treasure yang bakal ditayangkan di pawagan seluruh negara pada 3 April ini bakal mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan dan mempamerkan budaya tempatan yang kurang dikenali.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata filem yang memaparkan budaya dan tradisi masyarakat Salako itu mempunyai jalan cerita yang baik, unik, mistik dan penuh misteri.
Sehubungan itu, kementeriannya mahu anak-anak Sarawak yang berbakat menghasilkan lebih banyak filem pada masa hadapan.
Beliau berkata kementeriannya akan terus memberi sokongan kepada industri perfileman di negeri ini agar ia setaraf dengan Semenanjung dan negara-negara luar.
Datuk Snowdan berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Tayangan Perdana Filem Raya Emas-Salako Sacred Treasure di pawagan pusat beli-belah Vivacity Kuching hari ini.
Tayangan Perdana filem itu turut dihadiri oleh barisan pelakon iaitu Ahirine Ahirudin, Melissa Francis, Dunstun Luther Junior, Winson Voon, Wahab Daszz Hairaf, Willy Alfred Ting dan Daniel Ackeem.
Filem Raya Emas-Salako Sacred Treasure ini mengisahkan tentang perjuangan seorang bapa, Zul yang terdesak dan Ansamah yang berusaha melindungi warisan Salako serta sekumpulan pengembara yang diketuai oleh Diana, seorang gadis dengan kebolehan luar biasa.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

18 March 2025 | 12:46 PM