KUCHING, 17 Mac - Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki, sebagai Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berkuat kuasa hari ini.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, susulan itu berlaku perubahan kecil dalam kabinet negeri.
Jelasnya, ia termasuk ADUN Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, yang memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), juga berkuatkuasa hari ini.
"Pelantikan baharu dan rombakan kecil dalam Kabinet Negeri ini bertujuan untuk memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan GPS kepada rakyat serta meningkatkan sektor tenaga, termasuk pelaburan dalam industri minyak dan gas.
Abang Johari berkata demikian dalam sidang media selepas Istiadat Angkat Sumpah Dato Ibrahim Baki Untuk Jawatan Timbalan Menteri Sarawak di Astana Negeri Sarawak pada Isnin.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

18 March 2025 | 12:33 PM