KUCHING, 10 Mac: Sekumpulan pelajar dari Jepun berpeluang merasai pengalaman bulan Ramadan di Sarawak dengan melawat dan berbuka puasa di Masjid Jamek Negeri pada ahad.
Dekan Fakulti Pendidikan Bahasa dan Komunikasi (FPBK) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Dilah Tuah berkata, acara tersebut diadakan bersempena program mobiliti antarabangsa antara UNIMAS dan Universiti Utsunomiya dari Jepun.
Seramai 29 peserta terlibat dalam program tersebut, terdiri daripada 14 pelajar dari Universiti Utsunomiya dan 15 pelajar dari UNIMAS selaku rakan pembimbing.
Menurut beliau, tahun ini merupakan tahun ke-8 penganjuran program tersebut, dan istimewanya tahun ini, ia berlangsung buat pertama kalinya semasa bulan Ramadan.
Sehubungan itu, beliau berharap lawatan tersebut memberi peluang kepada para peserta untuk menyelami pertukaran budaya, lebih-lebih lagi tradisi Ramadan dan semangat Islam di Sarawak.
Semasa lawatan tersebut, para peserta berpeluang melawat sekitar kawasan Masjid Jamek Negeri Sarawak dan berbuka puasa bersama pihak pengurusan masjid.
Beliau berkata demikian semasa dihubungi media hari ini.