KUCHING, 3 Dis - Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia menggunakan alat pengesan dadah berteknologi tinggi dikenali "Instant Visual Drug Detector" (IVDD).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata alat tersebut akan digunakan semasa operasi mengesan penagih dadah melalui imbasan mata dijalankan.
Jelasnya, alat canggih tersebut merupakan sumbangan daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (PEMADAM) Cawangan Sarawak.
Datuk Hasidah yang juga Timbalan Pengerusi PEMADAM Sarawak berkata, Sarawak kini mempunyai sebanyak 19 unit IVDD bernilai kira-kira RM 1.9 juta, termasuk dua unit "Beg Scatter Machine" yang kini dalam proses perolehan.
Menurutnya lagi, Sarawak amat memandang serius isu dadah di negeri ini khususnya dalam kalangan generasi muda dan masyarakat, termasuk berkaitan isu keganasan rumah tangga.
Bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan PEMADAM Negeri Sarawak 1/2024 hari ini, Datuk Hasidah berkata Kerajaan Persekutuan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM Bukit Aman) juga menyumbang kepada Sarawak sebanyak 2 unit mesin MX908 "Handheld Mass Spectometer" bernilai RM 450,000 bagi tujuan sama.
Katanya, dua mesin tersebut juga telah diluluskan dan dalam proses perolehan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM