Kuching, 28 November: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) merancang untuk terus menganjurkan program-program berunsurkan kesusasteraan dan antropologi.
Datuk Bandar DBKU, Datuk Hilmy Othman berkata, inisiatif tersebut sebagai usaha untuk memupuk pemikiran kreatif warga kota dalam penghasilan dan penyampaian karya-karya sastera.
Katanya, sastera berperanan penting dalam menyampaikan nilai-nilai murni yang juga sebagai platform untuk mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Diharapkan menerusi inisiatif berkenaan, dapat memberi manfaat kepada warga kota bagi meningkatkan kecintaan terhadap bahasa dan budaya terutamanya di Sarawak.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Buku Himpunan Antologi Pantun Lakon di Auditorium DBKU, hari ini.
Sementara itu dalam majlis sama, tambah beliau, buku pantun lakon yang dilancarkan tersebut memaparkan hasil karya pelajar bersempena Sayembara Pantun Lakon telah diadakan pada September lalu bersempena bulan membaca DBKU.
Sebanyak 2 kategori dipertandingkan iaitu kategori sekolah rendah dan menengah yang mendapat penyertaan daripada 15 buah sekolah sekitar kawasan DBKU.
Buku tersebut akan dipamerkan di Perpustakaan DBKU untuk bacaan umum yang diharapkan menjadi pusat ilmu dan platform melestarikan warisan budaya.
#BilikBeritaCats #Catsfm