Kuching, 21 November: Seramai 257 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.4 Pantai Damai menerima insentif bagi melanjutkan pelajaran pada hari ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, pemberian insentif tersebut sebagai penghargaan atas kejayaan mereka melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta.
Katanya, menerusi pemberian insentif ini, beliau berharap agar hasrat untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang graduan dalam setiap keluarga dapat dicapai.
Sementara itu, beliau yang juga merupakan ADUN N.4 Pantai Damai menambah, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai perubahan drastik di bawah kepimpinan Premier untuk membangunkan sektor pendidikan wilayah ini.
Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan, yang jelas menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan sektor pendidikan serta sokongan kepada pelajar-pelajar Sarawak.
Ini termasuk pemberian bantuan wang saku dan bantuan komputer riba kepada pelajar-pelajar Sarawak.
Beliau menjelaskan bahawa inisiatif-inisiatif tersebut telah berjaya meningkatkan jumlah anak-anak tempatan yang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dari tahun ke tahun.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Insentif Pelajar IPT DUN Pantai Damai di Kuching hari ini.
#BilikBeritaCats #Catsfm