LUNDU, 21 Nov – Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan kerjasama Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) berjaya mengusir enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup masuk melalui sempadan Malaysia-Indonesia, semalam.
Markas 1 Divisyen dalam kenyataan memberitahu sepasukan tentera yang sedang melakukan rondaan di sektor Pos Gabungan Bersama Malaysia (GABMA) Biawak telah menahan enam individu di kawasan jalan tikus kira-kira 68 meter dari sempadan Indonesia, sekitar jam 4.30 petang.
Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan mendapati semua individu yang berusia antara 23 hingga 38 tahun itu tidak memiliki sebarang barang terlarang atau berbahaya.
Kesemua PATI tersebut telah dibawa ke sempadan untuk diusir keluar, dengan laporan rasmi turut dibuat di Balai Polis Lundu bagi memastikan tindakan diambil mengikut undang-undang.
Dalam pada itu, Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Khairul Anwar Abd Aziz, memuji usaha semua anggota yang terlibat dalam operasi tersebut.
Beliau menegaskan komitmen TDM untuk terus memperkukuh kawalan sempadan demi memastikan kedaulatan negara terpelihara.
#BilikBeritaCATS #CATSFM