Kuching, 19 November: Pembiayaan kewangan diakui sebagai salah satu cabaran utama yang dihadapi Sarawak dalam usaha menangani isu perubahan iklim.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak memerlukan modal yang besar untuk melaksanakan pelbagai pendekatan dan teknologi bagi menangani isu tersebut.
Menurut beliau, cabaran utama adalah untuk memastikan pembiayaan yang mencukupi dalam melaksanakan projek-projek di bawah inisiatif tersebut.
Katanya, Sarawak mengambil contoh pendekatan daripada negara-negara maju yang memainkan peranan penting dalam membiayai projek-projek berisiko tinggi di negara mereka.
Untuk itu, beliau berharap komuniti kewangan di Sarawak dapat mencari pendekatan inovatif untuk memastikan pembiayaan yang mencukupi bagi projek-projek perubahan iklim yang dijangka mempunyai risiko yang sangat tinggi.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan RAM-Menuju Masa Depan Mampan-Sorotan Sarawak, yang diadakan di Kuching hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Datuk Patinggi Abang Johari telah menerima anugerah 'Sustainability Stewart Of The Year' bersempena Persidangan itu.
Ia sebagai tanda penghormatan kepada beliau yang terus memperjuangkan masa depan yang mampan bagi Sarawak yang juga memberi impak besar di seluruh Malaysia dan ASEAN.
#BilikBeritaCats #Catsfm