KUCHING, 19 November – Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM240.2 juta bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024, mencerminkan komitmen terhadap pembangunan sukan dan perpaduan negara.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata temasya dari 17 hingga 24 Ogos 2024 itu menjadi satu kejayaan besar dengan Sarawak muncul juara keseluruhan buat kali keempat sejak 1994 dengan meraih sebanyak 201 pingat.
Bercakap pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 hari ini, beliau turut menghargai sumbangan RM50 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
Dato Sri Karim berkata, SUKMA Sarawak 2024 juga memperkenalkan aplikasi khas untuk memudahkan akses maklumat, termasuk jadual, keputusan, dan kedudukan pingat, selaras dengan agenda transformasi digital negeri.
Tambah beliau, acara ini bukan sahaja mengangkat sukan tetapi turut menyatukan rakyat Malaysia.
Kredit Foto: Japen Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #sarawak #kuching