KUCHING, 19 Nov -- Penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bakal menjadi fokus baharu dalam program latihan Pengakap di Sarawak.
Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak, Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom, berkata beliau mencadangkan "Program AI Scouting" dirangka bagi memastikan ahli Pengakap bersedia menghadapi perubahan teknologi global.
Menurutnya, program tersebut harus dilaksanakan bagi melatih ahli Pengakap Sarawak dalam bidang AI.
Jelas Penasihat di Pejabat Premier Sarawak merangkap ADUN Pakan itu lagi, cadangan ini sejajar dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan belia melalui penguasaan teknologi, sekali gus memastikan pergerakan Pengakap terus relevan dalam dunia moden.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penganugerahan Bintang Dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak 2024, di IPG Batu Lintang, pada Selasa.
#BilikBeritaCATS #CATSFM