Kuching, 18 November 2024: Projek Aliran Transit Autonomi (ART) di Sarawak dijangka tidak menghadapi masalah seperti yang berlaku di Indonesia.
Demikian menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, yang menjelaskan bahawa, Sarawak mengambil pendekatan dan tahap persediaan yang berbeza dalam melaksanakan projek tersebut bagi mengelakkan masalah yang sama.
Beliau menambah, ia melibatkan kerjasama rapat dengan Pengeluar Peralatan Asas (OEM) untuk menyesuaikan rekaan dan teknologi ART dengan keadaan di Sarawak.
Katanya, projek ini telah menjalani ujian yang teliti merangkumi ujian navigasi, keselamatan pemandu, dan sistem operasi, agar ia disesuaikan dengan persekitaran di Sarawak.
Tambah beliau, beberapa pemeriksaan dan ujian akhir akan dilakukan bagi memastikan projek ini memenuhi spesifikasi yang diperlukan sebelum dihantar ke Kuching untuk ujian lapangan.
Pelaksanaan projek ini bertujuan untuk memastikan unit ART lain, memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang konsisten dalam meningkatkan kecekapan pengangkutan awam di Sarawak.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi penggulungan kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Indonesia telah menghantar semula projek ART mereka selepas ia gagal beroperasi secara autonomi semasa percubaannya di Ibu Kota Nusantara.
Bagaimanapun, Dato Sri Lee menjelaskan bahawa projek ART Sarawak berbeza kerana ia dikendalikan oleh entiti yang berlainan dengan Indonesia.
#BilikBeritaCats #Catsfm