KUCHING, 18 Nov: Lebih 2,400 menara telekomunikasi diperlukan untuk mencapai liputan penuh internet menjelang 2030.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata setakat ini, Sarawak mempunyai 4,581 menara termasuk struktur telekomunikasi di atas bangunan yang telah siap dibina.
Katanya, daripada jumlah itu, 4,027 menara atau 87.9 peratus telah beroperasi manakala bakinya akan beroperasi secara berperingkat sehingga hujung tahun depan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Julaihi berkata sebanyak 523 daripada 583 tapak 5G di Sarawak telah beroperasi dan bakinya dijangka beroperasi pada suku pertama tahun depan.
Justeru, beliau menyeru Kementerian Digital Malaysia meneruskan pelaksanaan 5G fasa seterusnya di seluruh negeri ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM