KUCHING, 18 Nov: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1.085 bilion untuk melaksanakan program menaik taraf dan penggantian paip lama dan uzur di seluruh Sarawak secara berfasa untuk jangka masa lima tahun.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata agensi bekalan air kini sedang giat menjalankan kerja-kerja survei, penyediaan pelan lukisan, penyediaan dokumen tender dan pelawaan tender.
Katanya, sebanyak 13 projek telah dan akan dilaksanakan pada hujung tahun ini manakala 45 projek lagi akan bermula pada suku pertama tahun hadapan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan DUN hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Datuk Seri Julaihi memberitahu Sarawak memerlukan peruntukan lebih RM20 bilion bagi merealisasikan liputan penuh bekalan air selaras dengan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.
Setakat ini, ujarnya liputan air di seluruh negeri ini ialah 85.4 peratus dan liputan di luar bandar pada kadar 70.5 peratus.
Beliau berkata kementeriannya sentiasa komited dan akan terus meningkatkan usaha untuk menyediakan kemudahan bekalan air agar semua rakyat dapat menikmati bekalan air bersih, terawat dan mencukupi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM