Kuching, 18 November: Sarawak bakal melaksanakan pentaksiran standard untuk program Dwibahasa (DLP) Sarawak, melibatkan murid-murid Tahun 6 pada tahun 2025 dan Tingkatan 3, bermula 2028.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penilaian tersebut bertujuan untuk menilai kemajuan murid-murid di bawah program berkenaan.
Katanya, usaha Sarawak untuk melaksanakan penilaian tersebut telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam pada itu, MEITD sedang merangka instrumen pentaksiran berkenaan dengan kerjasama Cambridge University Press and Assessment, Institusi Pengajian Tinggi Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Sekolah-Sekolah Swasta di wilayah ini.
Kerjasama tersebut bagi memastikan penilaian yang akan dilaksanakan setanding dengan penanda aras antarabangsa.
Tambah beliau, pentaksiran pertama yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan untuk murid-murid tahun 6, akan melibatkan mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
#BilikBeritaCats #Catsfm