Kuching, 12 November: Rang Undang-Undang (RUU) sumber asli dan alam sekitar bil 2024 mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap pemeliharaan sumber alam dan tanggungjawab melindunginya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.57 Tellian, Royston Valentine berkata, RUU berkenaan bertujuan untuk mengawal penggunaan sumber alam, di samping melindungi alam sekitar daripada kesan-kesan negatif yang mendorong kepada perubahan iklim.
Katanya, RUU tersebut mempunyai struktur dan asas yang kukuh dalam usaha Sarawak untuk melindungi dan memelihara sumber alam sekitar wilayah ini.
Berdasarkan RUU tersebut, Sarawak akan memiliki undang-undang yang lebih komprehensif untuk melindungi sumber alam dan memastikan pemeliharaan alam sekitar sentiasa menjadi keutamaan.
Tambah beliau, Dengan kelulusan RUU itu, ia sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kelestarian untuk generasi akan datang mewarisi alam sekitar yang bersih dan sihat.
Untuk itu, beliau menyokong penuh usul tersebut ke arah masa depan yang lebih baik untuk Sarawak yang lebih lestari, maju dan makmur.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan RUU berkenaan dalam sidang DUN penggal ke-3, hari kedua, hari ini.
Terdahulu, bacaan kedua RUU tersebut telah dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan semasa sidang DUN hari ini.
#BilikBeritaCats #Catsfm