KUCHING, 12 Nov: Sarawak menghadapi beberapa cabaran untuk mencapai sasaran 60 peratus Tahap Sara Diri (SSL) bagi beras.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata antara cabaran itu ialah infrastruktur sistem pengairan dan saliran yang tidak lengkap; penggunaan benih padi varieti tradisional yang mempunyai hasil pengeluaran rendah dan penggunaan mekanisasi.
Selain itu, katanya, penggunaan mekanisasi dan automasi ladang yang rendah dalam kalangan pesawah, Ketersediaan tanah untuk diusahakan syarikat swasta atau peneraju adalah terhad; dan kekurangan kemudahan pengurusan lepas tuai.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Balleh Nicholas Kundi Jantai pada persidangan DUN Sarawak hari ini.
Datuk Dr Abdul Rahman juga memberitahu kementeriannya telah mengenalpasti kawasan Sungai Tunoh, Kapit seluas 216 hektar untuk penanaman padi.
Katanya, kawasan itu telah dicadangkan dalam senarai perancangan Kerajaan untuk dibangunkan dengan kemudahan infrastruktur asas pengairan dan saliran.
Beliau menambah kementerian juga mengenalpasti kawasan baharu iaitu Sungai Entuloh, Kapit dan Jabatan Pertanian Sarawak sedang menjalankan kajian kesesuaian serta kebolehlaksanaan bagi menilai potensi sebagai kawasan penanaman padi yang dijangka siap pada suku pertama 2025.
Dalam perkembangan lain, Datuk Dr Abdul Rahman berkata memberitahu seramai 395 pesawah dan 585 penanam padi bukit di kawasan Merit dengan jumlah keluasan kawasan bertanam 980 hektar telah menerima manfaat daripada Skim Baja dan Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) serta Skim Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB), dengan jumlah nilai bantuan sebanyak RM960,838 tahun ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM