Kuching, 12 November: Kerajaan Sarawak meneruskan usaha untuk mengembalikan hak autonomi sektor pelancongan negeri melalui rundingan aktif dengan Kerajaan Persekutuan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, langkah tersebut bertujuan untuk mengukuhkan pembangunan industri pelancongan di Sarawak.
Katanya, pengembalian semula hak autonomi tersebut masih dalam perbincangan antara kedua-dua pihak.
Kerajaan Sarawak tetap komited untuk terus menjalankan dialog dan rundingan bersama kerajaan persekutuan supaya kedua-duanya mempunyai kuasa bersama dalam mengurus sektor pelancongan.
Tambah beliau MTCP juga bekerjasama rapat dengan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63, dan Perhubungan Negeri Persekutuan) serta Jabatan Peguam Negeri untuk memastikan pelaksanaan usaha itu berjalan lancar.
Dengan perubahan ini, Sarawak berharap untuk mengukuhkan autonominya dalam mengurus sektor pelancongan, sekali gus membuka peluang lebih besar untuk pertumbuhan dan pembangunan industri yang lebih berdaya saing di peringkat global.
Beliau berkata demikian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak penggal ke-3 pagi ini, menjawab persoalan dari Ahli DUN N.13 Batu Kitang berhubung usaha mengembalikan semula hak automini sektor pelancongan ke Sarawak.
#BilikBeritaCats #Catsfm