Kuching, 11 November: Inisiatif tenaga hijau Sarawak menarik minat Hyrex Oil Sdn Bhd untuk bekerjasama dengan Senari Synergy dalam melancarkan Sarawak Lubricants Sdn Bhd, hari ini.
Pengerusi Hyrex Oil Sdn Bhd, Dato' Hazimah Zainuddin berkata, Sarawak dilihat mempunyai potensi besar untuk mengembangkan pasaran produk jenama tersebut ke seluruh wilayahnya serta ke rantau Asia Tenggara.
Katanya, kerjasama ini juga didorong oleh kepimpinan Premier Sarawak yang dilihat berwawasan dalam pemerkasaan tenaga hijau di wilayah ini.
Oleh sebab itu, Hyrex Oil berusaha untuk mengembangkan produk terbiodegradasi sebagai sebahagian daripada rancangan untuk memasuki pasaran Sarawak.
Beliau juga menyatakan bahawa langkah tersebut diambil untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk mesra alam.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Sarawak Lubricants Sdn Bhd di Kuching, hari ini.
Sementara itu, Dato' Hazimah menyatakan hasrat pihaknya untuk memasuki pasaran industri pelincir wilayah ini dalam perancangan masa depan menerusi kolaborasi ini.
Tambah beliau, fokus utama Hyrex Oil Sdn Bhd kini adalah untuk menembusi pasaran yang lebih besar di Sarawak di samping menggalakkan penggunaan jenama Sarawak Lubricant tersebut.
#BilikBeritaCats #Catsfm