Kuching, 11 November: Sarawak Lubricants merancang untuk membuka loji pengeluaran pelincir, sebagai langkah untuk merancakkan pembangunan industri pelincir di Sarawak.
Pengarah Urusan Senari Synergy, Dato Jefri Ahmad Tambi berkata, syarikat itu sudah memiliki pelan tindakan yang jelas untuk merealisasikan projek berkenaan pada masa akan datang.
Katanya, selain memfokuskan kepada pasaran domestik, syarikat itu juga merancang untuk mengembangkan produknya ke pasaran serantau termasuk ke Brunei dan Indonesia.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas Majlis Pelancaran Sarawak Lubricants Sdn Bhd di Kuching, hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan sama beliau menambah, selepas pelancaran syarikat itu hari ini, pihaknya akan mempergiatkan usaha untuk mempromosikan produk dan memperluas jualan di pasaran.
Ujarnya, Sarawak Lubricants telah memulakan operasinya dengan menjual pelbagai produk pelincir dan merancang untuk mengukuhkan kedudukannya pada tahun depan dengan sasaran khusus dalam industri automotif, perindustrian, dan jentera berat.
#BilikBeritaCats #Catsfm