Kuching, 11 November: Sarawak Lubricants Sdn Bhd dilancarkan secara rasmi hari ini, menandakan langkah penting dalam memajukan sektor perindustrian dan tenaga di Sarawak.
Pelancaran syarikat tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan pesat dalam industri minyak pelincir, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai hab tenaga di rantau ini.
Kolaborasi strategik antara Senari Synergy Sdn Bhd dan Hyrax Oil Sdn Bhd ini diharap dapat merancakkan lagi ekonomi Sarawak melalui pendekatan yang mampan agar produk pelincir yang dihasilkan memenuhi keperluan industri tempatan dan antarabangsa.
Dengan fokus yang kuat terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D), Sarawak Lubricants komited untuk memperkenalkan formulasi pelincir yang berkualiti tinggi dan memenuhi kehendak piawaian industri.
Pelancaran ini juga menandakan permulaan bagi pengembangan produk inovatif yang dijangka memberi impak positif kepada sektor perindustrian serta memastikan Sarawak terus menjadi pemain utama dalam sektor tenaga di peringkat global.
Majlis pelancaran tersebut hari ini, dirasmikan oleh Pengerusi Senari Synergy Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain di Kuching.
#BilikBeritaCats #Catsfm