Kuching, 11 November: Simposium ke-21 Organisasi Antarabangsa Pendidikan Sains dan Teknologi (IOSTE) 2024 mengangkat tema yang relevan dengan keadaan semasa, menjadi aspirasi kolektif global.
Pemangku Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Profesor Madya Dr. Mohammad Isa Mohamadin, berkata tema tersebut menekankan kepentingan kerjasama untuk memastikan bidang pendidikan sains dan teknologi dapat diakses oleh seluruh lapisan masyarakat.
Katanya, perkembangan bidang berkenaan harus selari dengan prinsip kelestarian dan keadilan sosial, bagi menangani isu-isu semasa berkaitan teknologi dan kemanusiaan.
Justeru, IOSTE ke-21 2024 dilihat sebagai platform untuk menangani cabaran tersebut dan membantu memperbaiki pendidikan sains dan teknologi demi manfaat masyarakat global.
Tambah beliau, IOSTE juga diharapkan dapat memupuk lebih banyak idea baharu dalam penyelidikan serta kerjasama transformatif.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Rektor UiTM Sarawak, Profesor Ir. Dr. Juferi Idris, semasa Majlis Perasmian IOSTE ke-21 2024 di Kuching hari ini.
IOSTE ke-21 2024, yang bertemakan "Pendidikan Sains dan Teknologi untuk Kelestarian dan Keadilan Sosial", akan berlangsung minggu ini hingga 15 November nanti.
Lebih 30 kertas kerja akan dibentangkan, dengan penyertaan seramai kira-kira 200 orang termasuk perwakilan tempatan dan antarabangsa.
#BilikBeritaCats #Catsfm