KUCHING, 8 NOV - Laporan tahunan Ombudsman Sarawak akan disediakan mulai tahun hadapan bagi pembentangan di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Demikian umum Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, sambil menegaskan belum ada sebarang laporan rasmi yang akan dikemukakan pada persidangan DUN kali ini, kerana proses pentadbiran masih dalam fasa awal penubuhan.
Jelas Dr. Juanda, ordinan baru dikuatkuasakan pada April tahun ini dan pelantikan Ketua Ombudsman pada Jun yang lalu.
Menurutnya lagi, peringkat awal penubuhan pada tahun ini hanya memberi tumpuan kepada pengurusan urusan pentadbiran, penyusunan kakitangan, dan operasi dalaman.
Dalam perancangan penyediaan laporan tahun hadapan, Dr. Juanda turut memaklumkan bahawa pelaporan ini akan mencontohi format yang digunakan oleh negara-negara seperti Scandinavia, Sweden dan Finland.
Bercakap ketika ditemui media hari ini, Dr. Juanda berkata format tersebut tidak jauh berbeza dengan pelaporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang juga dikemukakan kepada DUN.
Beliau juga berharap laporan tahunan yang bakal disediakan tahun depan akan menjadi rujukan berharga bagi memperkukuhkan akauntabiliti pentadbiran awam di Sarawak.
#BilikBeritaCATS #CATSFM