Kuching, 7 November: Sarawak bakal mewujudkan pusat kecemerlangan untuk golongan muda yang dijangka akan dilaksanakan dalam skala besar dengan elemen kemampanan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pusat tersebut akan dimulakan pada tahun 2025 secara kecil-kecilan dahulu bagi mengenal pasti bakat yang hendak dikembangkan.
Katanya, inisiatif ini bertujuan untuk memastikan bakat tersebut terus dipupuk dan diperkembangkan untuk ke peringkat yang lebih tinggi dalam pelbagai bidang yang diminati.
Pihak kementerian telah mengenal pasti Tadika Sedidik sebagai pusat tersebut, yang akan mengamalkan konsep inklusiviti dan mempunyai fasiliti yang diperlukan.
Tambah beliau, inisiatif tersebut belum dilaksanakan secara menyeluruh kerana mengambil kira kemudahan yang sedia ada di setiap kawasan.
Ini merupakan langkah awal untuk kementerian mengenal pasti sumber yang dimiliki bagi memastikan kesinambungannya pada masa akan datang.
Oleh itu, kerjasama antara pelbagai pihak sangat diperlukan untuk memainkan peranan penting dalam merealisasikan inisiatif ini.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas merasmikan program 'Sarawak Preschool Kids Got Talent' 2024 di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCats #Catsfm