Kuching, 7 November: Kerajaan Sarawak komited untuk memastikan pembangunan awal kanak-kanak sebagai asas dalam melahirkan modal insan yang berkualiti.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata kerajaan memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman bagi mencapai matlamat tersebut.
Katanya, lawatan ke sebuah tabika di Beijing, China baru-baru ini menjadi penanda aras bagi memperkenalkan kanak-kanak kepada pembelajaran melalui aktiviti menarik.
Sehubungan itu, Sarawak merancang pelbagai aktiviti untuk mengenal pasti bakat kanak-kanak dan menggilapnya ke tahap yang lebih optimal, baik di peringkat tempatan mahupun global.
Program 'Sarawak Preschool Kids Got Talent' (SPKGT) merupakan platform terbaik untuk mengasah dan mengilap bakat kanak-kanak di wilayah ini.
Tambah beliau, menerusi SPKGT, daya kreativiti dan inovasi kanak-kanak dapat dipupuk melalui bakat yang mereka miliki dan ceburi.
Pertandingan yang memasuki edisi ke-7 tahun ini mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan 1,681 kanak-kanak dari seluruh Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sarawak Preschool Got Talent 2024 di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCats #Catsfm