BINTULU, 7 November – Sebuah bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan dekat sini kerana beroperasi tanpa nakhoda yang sah.
Penahanan itu dilakukan sekitar jam 9.30 pagi semalam di kedudukan 2.6 batu nautika barat laut Kuala Kemena.
Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, bot tunda tersebut ditahan ketika pihak Maritim Malaysia menjalankan OP PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS 3.0.
Katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, hasil pemeriksaan awal mendapati bot tunda tersebut dikendalikan oleh sembilan orang kru yang terdiri daripada dua warga tempatan, tiga warga Indonesia, tiga warga Myanmar, dan dua warga India dengan kesemua mereka berumur dalam lingkungan 19 hingga 56 tahun.
Jelas Suffian, bot tunda tersebut disyaki melanggar undang-undang di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal mengenai pertukaran nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal.
Bot tunda bersama 9 kru itu telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu untuk tindakan lanjut.
#BilikBeritaCATS #CATSFM