KUCHING, 6 Nov: Perubahan iklim menjadi cabaran dalam sektor penanaman kopi di seluruh dunia termasuk di Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata salah satu kebimbangan di negeri ini adalah risiko peningkatan suhu yang boleh menjejaskan pengeluaran dan kualiti kopi.
Beliau berkata bagi mengurangkan risiko tersebut, pihaknya mesti melihat amalan pertanian yang inovatif, berdaya tahan iklim dan strategi penyesuaian yang disesuaikan secara khusus dengan keadaan rantau ini.
Justeru, beliau menggesa setiap peserta Bengkel Kopi dan Perubahan Iklim di Asia Tenggara yang berlangsung tiga hari bermula semalam hingga Khamis, untuk meneroka dan bertukar-tukar idea selain belajar daripada pengalaman serantau dan antarabangsa.
Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil pada Bengkel Kopi dan Perubahan Iklim di Asia Tenggara dekat Kuching hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM