KUCHING, 5 Nov: Seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Datuk Bandar Mustapha, di sini, tengah malam tadi.
Kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Spyder F3-S-RDD dalam perjalanan dari arah Jalan Pending menuju ke Jalan Datuk Stephen Yong.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, memaklumkan bahawa mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan.
Menurutnya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak oleh pihak ambulans, namun disahkan meninggal dunia pada jam 1.35 pagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang dan sentiasa berhati-hati ketika memandu bagi memastikan keselamatan semua.
#BilikBeritaCATS #CATSFM