Kota Samarahan, 5 November: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan Sarawak mencapai hasrat wilayah maju menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini termasuk penyediaan graduan mahir dalam bidang-bidang kritikal seperti teknologi digital, pembangunan tenaga hijau dan infrastruktur.
Katanya, ini menunjukkan komitmen UNIMAS untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak melalui penyelidikan, inovasi teknologi, dan pemerkasaan komuniti luar bandar.
Beliau yang juga Pro-Canselor UNIMAS menambah, dengan sokongan universiti itu, Sarawak akan terus bergerak ke arah pembangunan yang inklusif dan menyeluruh demi mencapai kemajuan yang lebih pesat serta berdaya saing.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan Sarawak menghargai komitmen UNIMAS dalam memacu masa depan Sarawak yang lebih baik.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-28 Sidang Kedua di Dewan DeTAR PUTRA UNIMAS pagi tadi.
#BilikBeritaCats #Catsfm