MIRI, 5 Nov: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, Yuan Ruohan, maut dalam kebakaran yang memusnahkan dua rumah berkembar satu tingkat di Jalan Grand Park 3A/3, Miri, awal pagi tadi.
Kebakaran yang dilaporkan pada pukul 3:06 pagi itu memusnahkan salah satu rumah, manakala rumah bersebelahan hanya mengalami kerosakan di bahagian siling.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dengan bantuan BBP Miri bergegas ke lokasi dan tiba pada pukul 3:16 pagi, kira-kira 10 minit selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1 Rorudi Umas, panggilan awal diterima terus ke balai, memaklumkan tentang kebakaran besar tersebut.
Setibanya di lokasi, beliau berkata pasukan bomba mendapati salah satu rumah telah terbakar 70%. Malangnya, terdapat seorang mangsa warga China ditemui rentung di dalam rumah tersebut.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM