Mukah, 1 November 2024: Seramai 60 pelajar Politeknik Mukah (PMU) menerima sumbangan berupa makanan kering dan minuman dalam Program Sumbangan 'Foodbank' Siswa Mukah 2024.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Mukah itu bagi membantu pelajar-pelajar B40 mengurangkan beban kos sara hidup.
KPDN Mukah dalam kenyataan hari ini berkata, sumbangan tersebut merupakan sumbangan oleh Syarikat Pasar Mini Keluarga Daro yang bernilai RM500.
Simbolik penyerahan sumbangan hari ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Cawangan KPDN Mukah, Mohamad Rizal Sehe yang mewakili penyumbang kepada Andrea selaku wakil pelajar PMU.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Mukah, Suhaili Aleh dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada penyumbang dan KPDN Mukah atas inisiatif tersebut.
Beliau juga berharap program seumpama itu dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak lain untuk membantu menyumbang bagi memastikan kelangsungan inisiatif 'Foodbank' di PMU untuk pelajar yang memerlukan.
#BilikBeritaCats #Catsfm