Sibu, 1 November: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak menyatakan komitmennya untuk melengkapkan belia Sarawak dengan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi landskap kerjaya yang dinamik dan mencabar.
AZAM dalam satu kenyataan hari ini berkata, penyertaannya dalam Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCAT) 2024 dilihat sebagai platform terbaik untuk mencapai hasrat tersebut.
Pengurus Komunikasi Strategik AZAM Sarawak, Hassnal Hakim berkata, penyertaan AZAM dalam pameran tersebut juga menunjukkan komitmennya dalam menyokong dasar pembangunan di Sarawak.
Katanya, hasrat AZAM adalah untuk melibatkan belia Sarawak dalam ekosistem pembangunan di samping mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran kerjaya moden.
AZAM juga menegaskan dedikasinya untuk memastikan belia di Sarawak mempunyai akses kepada peluang kerjaya dan pembangunan peribadi ke arah masa depan yang berdaya saing.
Dalam pada itu, AZAM Sarawak akan menyertai Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCAT) 2024 pada 2-3 November di Stadium Tertutup Sibu.
Reruai AZAM di pameran itu akan menampilkan pelbagai aktiviti interaktif yang bertujuan memberikan pandangan kepada belia tentang laluan kerjaya yang berpotensi.
#BilikBeritaCats #Catsfm