KUCHING, 1 Nov: Seorang lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Sungai Maung, Kampung Gita Lama, pagi semalam masih belum dijumpai selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) gagal menemukan mangsa.
Kejadian yang dilaporkan pada pukul 08:52 pagi itu telah menggerakkan pasukan bomba, yang tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
Menurut Ketua Balai Bomba Petra Jaya Latif Iring, mangsa dikenali Aliffadri Aslam, 34 tahun, dilihat terjun ke dalam sungai di hadapan isteri dan anaknya.
Katanya, operasi SAR hari pertama melibatkan selaman berulang dan kaedah pencarian permukaan air sejauh dua kilometer ke hilir sungai, masih gagal menemui mangsa.
Operasi SAR ditangguhkan pada pukul 6 petang semalam dan disambung semula pada pukul 6 pagi hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM