Kuching, 31 Oktober: Rang undang-undang berhubung penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) antara kerajaan Sarawak dan persekutuan perlu diselaraskan untuk mencapai kepentingan bersama.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan persekutuan akan memperkenalkan rang undang-undang baru berhubung CCUS pada persidangan parlimen Disember depan.
Memandangkan Sarawak sudah mempunyai undang-undang CCUS sendiri, maka undang-undang baru tersebut perlu diselaras seiring dengan wilayah ini.
Katanya, meskipun kerajaan persekutuan merupakan penandatangan konvensyen antarabangsa, namun sumber yang terdapat di Sarawak harus mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh wilayah tersebut.
Beliau berkata demikian apabila menjawab pertanyaan media berhubung pertemuan beliau bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli semalam yang membincangkan berkenaan CCUS.
Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Johari menambah, selepas rang undang-undang tersebut diluluskan di parlimen, pelaksanaan perdagangan CCUS dapat dimulakan.
#BilikBeritaCats #Catsfm