Kuching, 31 Oktober: Perbincangan berkenaan isu pengagihan gas antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak (PETROS) sudah mencapai penyelesaian.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, PETRONAS sudah memberi maklum balas berhubung perkara tersebut.
Dengan itu, katanya PETROS akan meneruskan usaha sebagai agregator gas, dan formula serta butiran lanjut akan dibincangkan dalam pertemuan yang akan datang.
Di samping itu katanya, PETRONAS juga telah bersetuju bahawa PETROS adalah satu-satunya agregator dalam kerjasama ini.
Tambah beliau, Surat rasmi mengenai keputusan tersebut akan dikeluarkan tidak lama lagi, menandakan langkah positif dalam hubungan antara kedua-dua syarikat tersebut.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas kunjungan ke rumah terbuka Deepavali di kediaman Dato Dr Kalwinder Singh Khaira di Kuching, hari ini.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan bahawa Sarawak memberi masa 3 bulan lanjutan kepada PETRONAS untuk memuktamadkan aturan penyeliaan pengagihan gas di Sarawak bersama PETROS.
Oleh sebab itu, Premier berkata perkara tersebut sudah diselesaikan dan pengesahannya diharap akan dikeluarkan pada hari ini.
#BilikBeritaCats #Catsfm