KUCHING, 31 Okt: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) terus komited dalam menyediakan pendidikan yang kondusif kepada murid-murid Tadika Tahfiz Tun Abdul-Rahman Ya’kub (TATTARY), yang hari ini menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-15 di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Menurut Setiausaha Kehormat LAKMNS, Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Abdul Aziz Dato Husain, LAKMNS bukan sahaja komited dalam menyediakan kemudahan pendidikan terbaik, tetapi juga dalam memperkasa tenaga pengajar di TATTARY.
Beliau dalam ucapannya berkata, LAKMNS telah membiayai pengajian 15 kakitangan TATTARY di peringkat ijazah dan diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak di Open University Malaysia (OUM) sejak 2022.
Majlis ulang tahun itu telah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Kebajikan Islam Sarawak (SABATI), Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, yang diwakili oleh Timbalan Presiden SABATI, Dato Hajah Dayang Morliah Datuk Awang Daud.
TATTARY, yang telah beroperasi sejak tahun 2010 di bawah kendalian LAKMNS, diilhamkan oleh mantan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dengan misi untuk menyediakan pendidikan awal berasaskan Islam dan hafalan Al-Quran kepada kanak-kanak.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran buku “TATTARY, 15 Tahun Melakar Kenangan, Mengukir Masa Depan” oleh Dato Hajah Dayang Morliah, yang memaparkan sejarah dan pencapaian TATTARY sepanjang penubuhannya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli-ahli Lembaga LAKMNS, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Ahli Dewan Undangan Negeri N7 Semariang, Datuk Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
#BilikBeritaCATS #CATSFM