SIBU, 30 Okt: Guru besar sekolah rendah di seluruh Sarawak diminta agar memastikan anak-anak murid mereka menduduki ujian penilaian secara dalam talian bagi kemasukan ke Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ini kerana kemasukan atau pendaftaran ke sekolah tersebut adalah melalui guru besar.
"Ujian penilaian tersebut terbuka kepada semua pelajar tetapi mereka mesti mendaftar ataupun mesti melalui guru besar.
"Sebab itu saya galak guru besar memastikan murid mereka menduduki peperiksaan tersebut sebab permohonan adalah melalui guru besar dan setelah menduduki ujian itu barulah mereka ditapis untuk memasuki sekolah antarabangsa tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Rendah (MSSR) Zon Bandar Sibu kali ke-49 di Stadium Tun Zaidi, di sini, pada Selasa.
- BERNAMA