KUCHING, 27 Okt: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memfokuskan dan mementingkan kekuatan golongan muda dalam meneruskan perjuangan parti tersebut.
Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata ini dibuktikan apabila parti itu menubuhkan sayap belia bagi ahlinya yang berumur 18 hingga 28 tahun.
Katanya, pemuda hari ini adalah pemimpin pada masa hadapan dan perjuangan para pemimpin masa ini adalah untuk masa depan generasi muda.
Justeru, golongan muda perlu diberi pendedahan dan penerangan berhubung perlembagaan serta perjuangan parti tersebut.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda PBB Cawangan N.4 Pantai Damai Sesi 2024 – 2027 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Sementara itu, pada majlis sama, Naib Presiden PBB Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menyeru agar golongan muda diberi ruang dan peluang untuk berperanan aktif, membawa idea-idea segar dan inovatif yang boleh memacu perkembangan parti ke hadapan.
Ujarnya, golongan tersebut perlu merasakan tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan parti yang telah dibina sekian lama.
#BilikBeritaCATS #CATSFM