Kuching, 26 Oktober: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima permohonan maaf oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau menyatakan kenyataan tersebut secara ringkas hari ini selepas merasmikan Pertandingan Bot Naga Antarabangsa Sarawak 2024 dan Mini Perasmian Festival Kraf Borneo Sarawak 2024 di Tebingan Kuching.
Terdahulu, media tempatan pada Khamis lalu melaporkan, Datuk Seri Najib telah membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu salah laku dalam syarikat 1MDB.
Berdasarkan kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan tersebut kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low serta eksekutif Petrosaudi.
Permohonan maaf oleh beliau itu datang enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri atau tidak dalam kes rasuah 1MDB sejak lima tahun lalu.
Menurut kenyataan tersebut, beliau menzahirkan kekecewaan setelah mengetahui segala kecurangan yang berlaku dalam 1MDB ketika berada di bawah pengawasan beliau selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.
#CATSFM #BilikBeritaCATS