MIRI, 20 Okt: Hanya ada dua projek yang dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) dikategorikan sebagai sakit di Sarawak, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata projek terbabit adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belaga dan Kolej Vokasional Miri.
“Daripada keseluruhan 786 projek di seluruh negara, sebanyak 21 projek atau 2.67 peratus dikategorikan projek sakit. Jadi di Sarawak ini hanya dua iaitu SMK Belaga dan Kolej Vokasional Miri,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Kompleks Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Dalam ucapannya Nanta menggesa agar masyarakat tidak hanya melihat dan menjadikan isu projek sakit yang peratusannya adalah kecil, sedangkan jumlah projek yang berjaya dilaksanakan adalah jauh lebih tinggi.
Sumber: BERNAMA

BILIK BERITA CATS

21 October 2024 | 05:32 PM