KUCHING, 28 Sept - Walaupun Sarawak telah disahkan sebagai juara keseluruhan acara kolam renang pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024, tuan rumah masih belum mahu berehat, apabila kini sibuk merangka pelan strategik melahirkan atlet bertaraf dunia yang mampu diketengahkan dalam skuad kebangsaan.
Perkembangan itu dikongsikan oleh Ketua Jurulatih Renang Sarawak Sarini @ Syarbini Kedri, yang memberitahu seramai lima jurulatih lain telah diletakkan di beberapa bahagian berbeza seperti Miri, Sibu dan Kuching, bagi memastikan tiada bakat baharu yang terlepas pandang dan dapat dicungkil dengan sebaiknya.
“Alhamdullilah atas juara keseluruhan carta pingat renang dan melepasi sasaran 15 pingat emas kepada 17. Kejayaan ini pertamanya sebab kita sebagai tuan rumah,” katanya ketika ditemui Bernama.
Sarini bagaimanapun berkata, pihaknya masih memerlukan masa yang bersesuaian untuk memastikan usaha berkenaan dapat dicapai sepenuhnya dan memberikan hasil diharapkan.
Sarawak yang menghantar 27 perenang secara keseluruhan dengan dua daripadanya merupakan atlet wanita, berjaya meraih 42 pingat, terdiri daripada 17 pingat emas, 13 perak dan 12 gangsa, sekali gus menggungguli carta keseluruhan, selepas sukan renang melabuhkan tirai di Pusat Akuatik Pandelela Rinong pada Khamis lalu. - BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #ParaSUKMA2024
Foto: BERNAMA