Kota Samarahan, 25 September: Premier Sarawak mencadangkan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) mengambangkan hasil pertanian Sarawak untuk dieksport ke negara jiran.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan menyediakan dana sebanyak RM10 juta kepada PPNS untuk mengeksport hasil tani negeri ini dengan menggunakan kapal terbang secara harian.
Katanya, PPNS boleh menggunakan kaedah sewaan kapal terbang untuk tujuan tersebut terlebih dahulu untuk tempoh suku pertama bagi melihat keberhasilan cadangan tersebut untuk dikembangkan pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, Premier berkata Sarawak mempunyai pejabat di Singapura yang akan memberi kemudahan kepada PPNS untuk mewujudkan jaringan pasaran bersama syarikat-syarikat yang berpangkalan di negara itu.
Selain itu, Sarawak juga bakal menempatkan pejabat di negara Brunei Darussalam pada bulan depan untuk membolehkan kerjasama dengan masyarakat perniagaan di Brunei dalam mempromosikan produk Sarawak.
Seterusnya, satu lagi pejabat akan dibangunkan di Pontianak dan akan diperluaskan ke Nusantara serta bandar-bandar lain di Kalimantan untuk tujuan yang sama.
Tegas beliau, melalui jaringan tersebut, ia mampu untuk melonjakkan ekonomi Malaysia yang memfokuskan kepada kekuatan yang ada di Sarawak.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menyempurkan Majlis Perasmian Bangunan Baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak di Kota Samarahan, hari ini.
#BilikBeritaCats #Catsfm